
Penamaan calon sudah berlalu dan setakat ini BN sudah memenangi beberapa kerusi Parlimen dan DUN tanpa perlu bertanding dan meraih undi. Bagi yang bertanding yang mahu menjadi wakil rakyat sudah pasti menaburkan janji-janji manis, lebih-lebih lagi parti pemerintah yang telah memerintah lebih 50 tahun. Bagaimananpun begitulah saban penggal Pilihanraya diadakan. Rakyat dijanjikan dengan pelbagai pembangunan dan kemudahan yang seimbang antara bandar dan luar bandar. Hakikatnya benarkah pembangunan dan keadilan itu seimbang?
Parti BN menjanjikan RM30 billion untuk pendidikan anak bangsa, berjanji mahu membina lebih banyak sekolah dan kemudahan untuk institusi pengajian tinggi. Apalah gunanya membina lebih banyak sekolah sedangkan sekolah yang sedia ada tidak diselenggara dengan baik?
Jangan jadikan rakyat mangsa kepada kepentingan politik dan periuk nasi anda. Tidak kiralah dari parti mana anda bertanding kepentingan rakyat sepatutnya menjadi keutamaan. Rakyat sudah bijak memilih tetapi jika strategi kotor digunakan untuk menang maka tidak perlulah pilihanraya di buat. Penipuan tidak mendatangkan keberkatan dalam berpolitik. Rakyat yang miskin terus miskin dan yang kaya terus kaya. Bila mendapat kuasa janji-janji terus dilupakan dan kawasan yang anda menang masih seperti dulu tiada perubahan pun. Jika ada pun waktunya hanyalah ketika pilhanraya ini.
Siapa yang kita pilih bakal mencorakkan kehidupan kita. Kita diberi pilihan untuk membuat pilihan dan pilihlah yang terbaik serta jangan tersalah pilih. Ramai orang berkata hari ini anda berkuasa dan esok lusa mungkin orang lain pula, ia ibarat roda yang berputar, kadang-kadang kita diatas dan kadang-kadang kita dibawah. Sebagai pemimpin yang dipilih jangan merosakkan anak bangsa anda sendiri yang telah pun rosak akibat tangan anda sendiri. Kehancuran anak bangsa kita dewasa ini adalah kesilapan pemimpin yang kita pilih. Kerana merek lah yang membentuk negara Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang ini.
Kepada calon-calon Pilihanraya selamat berkempen dan kepada pengundi jangan tersalah pilih kerana salah memilih kitalah juga mangsanya.

